Merantau. Kita akan lebih mengenali diri kita.

Berada jauh di Negara orang menggali sifat yang tertanam ketika di Negara sendiri. Kalau di Negara sendiri,dek kerana ramai yang sebangsa dan sealiran, kita ibarat enau yang melepaskan pucuk masing-masing. Saling tidak mengenali dan saling tidak mendalami. Tetapi ketika kita tercampak di bumi asing, kita mula mahu ambil tahu kerana ketika di perantauan, kita adalah kelompok yang kecil maka kita pun bersatu. Bersahabat, ketika itu, sangat mudah. Bila terlihat seseorang dengan wajah kecil, hidung tak mancung dan berkulit sawa matang atau kuning langsat, benak akan tertanya, "Orang Malaysiakah itu?' Ujiannya mudah.Teriakkan sahaja, "Belacan". Kalau dia menoleh sambil tersenyum, orang senegaralah dia.
Ini cerita aku puluhan tahun yang lalu. Zaman hijau pucuk pisang. Zaman kemakmuran. Era Mahathir dan Margaret Thatcher.
Di dalam kelompok pengajianku yang seramai 15 orang,di bumi Inggeris, yang bukan bumiputra cuma Sybil Su dan Ng Loo Bok Lan.
Sybil, berbangsa Cina, beragama Kristian, berjiwa kental, berpandangan tegas dan fokus kepada pengajian. Beliau selalu bercerita tentang BBGS atau Bukit Bintang Girls School. Orang KL-gadis kota. Sybil kemudiannya menjadi sahabat akrabku sehingga kini.
Bok Lan pula, gadis Tionghua yang comel dan genit. Berambut kerinting dan mempunyai senyum simpul yang sangat manis. Beliau, non controversial. Dia diantara yang terpandai di antara kami. Sering mendapat A dalam apa jua tugasan yang diberikan. Tidak hairanlah jika di akhir pengajian,beliau bergraduasi dengan first class honors. Kami pun tumpang bangga. Ada juga yang mendapat first class honors di dalam kumpulan kecil kami.
Ambrose bumiputra berbangsa Iban. Beliau mempunyai jatidiri yang kukuh. Dia bangga dengan darah Iban yang mengalir dan seringkali cuba mengajar kami tentang bahasa ibundanya. Di awal pengajian, Ambrose 'membaca' kamus Oxford Advanced Learners Dictionary. Kami kagum dalam diam. Ambrose seorang yang bertanggungjawab dan berusaha dengan gigih di dalam pengajiannya. Beliau juga seorang pemain bolasepak yang disegani dan pemain badminton yang sukar dikalahkan.
Satu hari, Ambrose berseloroh, "Yus, you adalah kawan sebenar."
Aku cuma tersenyum. Jasaku cuma menyediakan kek harijadi untuknya. Harijadi Ambrose tahun itu merupakan harijadi yang sukar dilupakan. Selepas acara meniup lilin dan makan apa yang ada, kawan kawan lelaki yang lain berpakat untuk menghumban Ambrose ke dalam Tocil Lake. Sehingga hari ini, perkara tersebut merupakan perkara yang diulang cerita di dalam setiap pertemuan kami.
Selain dari Ambrose, Sybil dan Bok Lan, yang lain semuanya berbangsa Melayu. Ketika tahun 1980an, kebanyakan guru Bahasa Inggeris adalah guru bukan Melayu. Aku berpendapat, kami dihantar bagi mengimbangi keadaan itu apabila kami kembali ke tanah air. Sahabat aku yang lain adalah Rohimmi dan Mazlin, Zaid, Wan Rose Eliza, Anita, Zuhana Mazwin, Nor Jehan, Munirah, Adila,Suffian dan Halleyza.
Berada di luar Negara dalam kumpulan yang kecil ini menyebabkan kami akrab umpama sebuah keluarga. Ketika pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Inggeris,kami baru berusia 18 tahun. Masih muda belia. Kami saling bergantung harap di antara satu sama lain. Kami bereksperimen, menempuh liku hidup remaja, bercinta dan ada yang putus kasih di pertengahan jalan. Kami diuji dengan pelbagai perkara. Tapi kami utuh. Aku bangga menyatakan bahawa keluarga kecil ini utuh. Utuh kerana jatidiri kami kuat.
Kami umpama ikan di lautan. Walaupun air laut itu masin tapi isi ikan itu sendiri tidak terpalit dengan keasinan air laut.
Gambar ini menghimpunkan sebahagian dari pelajar Malaysia yang menuntut di universiti yang sama denganku ketika itu.

😍
ReplyDelete