Pages

Monday, 3 June 2019

EPISOD 1 : Tok Ayah



Episod 1 : Tok Ayah

Aku dilahirkan di dalam sebuah keluarga yang berpendidikan. Bapa aku seorang guru berkaliber seperti juga ibuku. Mereka mengajar di sekolah yang berbeza. Aku membesar dikelilingi dengan ramai idola. Atukku yang kupanggil Tok Ayah merupakan di antara insan yang paling aku sayangi. Tok Hj Shariff namanya. Beliau merupakan seorang yang sangat dihormati di kampong kami. Ketika hayatnya, beliau pencen sebagai Northern Region Train Controller dengan KTM. Dalam artikata lain, beliau yang mengatur jadual perjalanan tren di kawasan utara.

Tok Ayah merupakan seorang yang mempunyai personaliti yang baik.Beliau seorang yang tegas tetapi sangat penyayang dan aku yakin,aku adalah diantara cucu kesayangannya.
Tok Ayahku, orangnya tinggi dan agak besar. Tok Ayah berkulit gelap dan bercuping tebal. Beliau sering tersenyum dan senyumannya sangat mendamaikan untuk seorang kanak-kanak seperti aku. Tok Ayah sangat pandai mengaji dan aku yakin Tok Ayah juga tahu ilmu persilatan cuma aku tidak pernah melihat Tok Ayah bersilat. Aku sering melihat Tok Ayah mengasapkan kerisnya yang disapukan limau nipis
.
Aku banyak menghabiskan masaku bersama Tok Ayah. Momen yang paling aku suka adalah apabila Tok Ayah bercukur. Aku asyik melihat Tok Ayah mengaul sejenis sabun yang dipanggil ‘shaving foam’ dan kemudian dia akan menyapunya di kawasan berjanggut. Kemudian, Tok Ayah akan mengambil pisau cukur dan mula bercukur sambil berbual dengan aku. Di suatu hari ketika bercukur bercerita tentang bekal.

            Ma suka tak pi berkelah?’, Tanya Tok Ayah.

Suka’, jawabku sepatah sambil tekun melihat Tok Ayah melarikan  pisau cukur ke bawah dagunya. Aku memicing mata takut Tok Ayah terluka.

Kalau pi berkelah,kita bawa bekal,kan?’ Tok Ayah bertanya lagi. ‘ Bekal apa yang Ma suka bawak?’

            Sandwich dan nasi lemak’,jawabku pantas.

Sedapkan makan sandwich dengan nasi lemak bila kita pi berkelah?’, Tanya Tok Ayah lagi. Aku cepat mengangguk.

Macam tu juga lah bila kita hidup ni. Kita kena kumpul banyak pahala. Pahala tu nanti yang akan jadi bekal bila kita di akhirat nanti’

Akhirat tu apa Tok Ayah?’,aku bertanya. Aku sering mendengar perkataan akhirat tetapi konsep itu masih terlalu asing buat aku yang berusia 8 tahun.

Bila kita mati nanti, kita akan pergi ke alam akhirat. Amalan kita akan ditimbang. Bekal tu adalah amalan kita. Kalau kita buat baik, dapat banyak pahala nanti kita boleh masuk syurga. Ma nak masuk syurga,tak?’tanya Tok Ayah sambil memandang kepada aku yang masih mendongak melihat Tok Ayah  yang sedang mengelap mukanya.

Waktu itu Tok Ayah sangat wangi. Bila aku sudah dewasa, baru aku tahu, Tok Ayah mengenakan cologne pada wajahnya yang menyebabkan Tok Ayah berbau sangat wangi setiap kali beliau habis bercukur.

Tok Ayah juga mengajar aku mengaji, mengajar aku cara berwuduk dan solat berjamaah. Tok Ayah juga sering menyelamatkan aku dari dirotan oleh ayahku. Adakalanya , Tok Ayah akan bercerita tentang penjajahan Jepun. Beliau memang boleh berbahasa Jepun. Ketika zaman penjajahan Jepun, keluarga Tok Ayah terselamat di sebabkan kebolehan Tok Ayah berbahasa Jepun. Tok Ayah juga sangat pandai berbahasa Inggeris. Ketika aku kecil, aku sering berbahasa Inggeris dengan Tok Ayah sehingga Mak Tokku menjadi cemburu kerana MakTok tidak tahu apa yang kami bualkan.

Berapa ringgit ayahhang bagi kat rumah kenduri?’, Tanya Mak Tok kepada Tok Ayah ketika Tok Ayah sibuk bercerita tentang kenduri yang baru dihadirinya.

            One Ringgit’ kata Tok Ayah sambal tersenyum dan memandang ke arahku.

Amboi, sampai tiga ringgit ayahhang bagi’, Mak Tok mengagak. Aku tergelak sambal memandang Tok Ayah. Tok Ayah mengekek kerana berjaya menggenakan MakTok.

Tak lah Mak Tok. Tok ayah bagi seringgit ja’, Aku memberitahu sambil menghabiskan baki ketawaku. Aku tak sampai hati melihat Mak Tok salah tafsir.

            Nasib baik ada Ma’, puji Mak Tok. Aku tersenyum terkidum kidum.

Tok Ayah selalu datang ke rumah kami di Taman Bukit. Ketika itu, tinggal di “Taman” merupakan satu lambang status yang tersendiri. Tok Ayah akan membawa Morris Minornya ke rumahku. Beliau juga akan menyemak kerja sekolahku terutamanya jika ia berkaitan dengan Bahasa Inggeris.

Ma, awat tulis ‘are’. The water ‘is’..Water mana boleh kira.’, tegur Tok Ayah sambal ketawa sinis. Aku cuma tersengih menampakkan gusi.

Tok Ayah meninggal selepas seminggu balik dari menunaikan haji pada tahun 1982. Waktu Tok Ayah pergi,aku berada di sebuah sekolah berasrama penuh di utara tanahair. Aku masih ingat lagi,ketika itu aku baru sahaja habis menduduki kertas terakhir SRP, kertas Geografi. Sekitar jam 2 petang, Paklong Man,sepupu emak datang mengajak aku balik ke Bukit Mertajam. Aku jadi bingung, Kenapa tiba-tiba Paklong Man ajak aku balik?

Jom la balik,Ma. Kita pi tengok tok ayah dan mak tok yang baru balik Mekah’. pujuk Paklong Man.

Aku cuma senyum dan mengangguk tetapi dalam hati, aku merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Ketika dalam perjalanan pulang itulah Paklong memberitahu yang Tok Ayah sudah tiada. Aku menangis dalam diam.

AlFatihah. Aku teringat yang tok ayah selalu pesan,’Bila tok ayah tak dak nanti, Ma sedekahkan Tok Ayah AlFatihah tau,nanti barula kubur Tok Ayah terang’.Hari itu, dalam perjalanan pulang, aku tak henti henti membacakan surah AlFatihah untuk arwah Tok Ayahku.

Tok Ayahku yang mengajar aku membaca alif,ba,ta. 
Tok Ayahku yang sering bercerita tentang tokoh alim ulama.
Tok Ayahku yang mengajar aku tentang bekalan akhirat.
Tok Ayahku yang mempamerkan sifat kepimpinan yang sangat hebat.
Tok Ayahku yang menjadi contoh suami terbaik. 
Tok Ayahku yang sering memberikan hanya yang terbaik untuk keluarganya.
Tok Ayahku yang membuat aku rasa sangat istimewa.

Malam itu, di hujung kaki Tok Ayah,aku menangis bersungguh-sungguh. Aku telah kehilangan seorang idola yang sangat aku sayangi. Penyelamat aku sudah tiada. Penasihat aku telah dijemput Illahi. Hidupku pasti tidak sama lagi.

Dihujung nyawanya, Tok Ayah berpesan agar anak cucunya menjadi orang yang soleh dan sentiasa berpegang kepada agama. Akhirnya, pesanan itulah yang aku pegang dan pesanan itu yang mengubah aku.

Aku bertekad untuk menjadi cucu yang baik. Aku ingin Tok Ayahku bangga dengan aku.Aku ingin bertemu semula dengan Tok Ayah di akhirat kelak. Aku ingin memberitahu Tok Ayahku yang semua pesanannya adalah azimat kehidupanku.


Dengan itu, bermulalah episod aku yang baharu.












No comments:

Post a Comment