" Betul nak tinggalkan tempat ni? Belum tentu lagi awak boleh berjaya kalau awak pergi ke luar Negara", kata pegawai yang memanggil kami.
Seramai 6 orang telah mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke luar Negara. Kami sepakat untuk meninggalkan pengajian yang belum bermula. Ketika itu, kami berada di dalam minggu orientasi. Kalau ditimbang, melanjutkan pelajaran di dalam Negara dan luar Negara, sudah tentu aku memilih luar Negara. Siapa yang tak nak 'fly',kan?
"Lagipun nanti, gaji sebagai seorang pegawai bank boleh jadi lebih tinggi dari seorang guru," pegawai tersebut masih cuma untuk memujuk kami untuk kekal di universiti tersebut. Aku mula berbelah bagi. Takut pun ada. Aku berada di universiti tersebut untuk mengikuti kursus Perbankan. Tawaran ke luar Negara adalah untuk menjadi seorang guru Bahasa Inggeris. Kalau diikutkan prospek, menjadi seorang pegawai bank mungkin lebih hebat. Tetapi aku tahu yang jiwaku adalah jiwa seorang pendidik. Kedua orang tuaku adalah guru. Darahku memang darah seorang guru.
Aku nekad. Petang itu, aku ikut ayahku pulang. Aku tinggalkan universiti itu. Bismillah. Moga keputusan ini tepat,doaku di dalam hati.
Persiapan untuk ke luar Negara kemudiannya terpaksa aku lakukan sendirian. Ayah dan mak telah berangkat menunaikan haji. Persediaanku dibantu oleh Pak Njang dan Mak Njangku yang telah diamanahkan oleh mak untuk membantu aku. Pak Njangku berwajah garang, bersuara lantang dan ke mana-mana sering berseluar pendek atas sedikit dari lutut. walaupun berperwatakan begitu, hatinya sangat baik. Dialah yang membawaku untuk berurusan di Kementerian, membantu aku untuk menyediakan pasportku, menukar duit ke Pound Sterling, menyediakan 'Bankers Cheque' untuk bekalanku di perantauan.
"Ma, buka tudung. Toksah dok pakai tudungla. Nak pi England kot" arah Pak Njangku. Ketika itu, diawal 80an,pemakaian tudung bukan sesuatu yang biasa. Malah, kami digelar,'orang dakwah'. Kesedaran terhadap menutup aurat masih kurang.
Aku tidak menjawab, hanya diam.
Pada tarikh aku berangkat, aku mengenakan skaf dan berbaju blaus berkolar tinggi bagi menutupi leherku. Tidak ideal bagi seorang muslim tetapi aku menganggap itu adalah tindakan tolak ansurku dengan saranan Pak Njang. Pak Njang tidak berkata apa apa ketika melihatku dengan skaf menutupi kepalaku dan hujung skaf kulilit di kepala. Lagaknya seperti orang Afrika.
Ketika sampai di lapangan terbang Subang, kami berkumpul di satu sudut. Semua beg dikumpulkan dan didaftar masuk secara kumpulan. Aku lihat begitu ramai sekali yang seangkatan denganku. Gementar, teruja, seperti ingin menangis dan ketawa. Semua perasaan ini bercampur di dalam dadaku.
"Beg tangan jangan lepas. Pastikan sentiasa ada. Beg hand carry ni letak di compartment atas." pesan Mak Njang. Aku angguk. Belum terbayang bagaimana bahagian dalam sebuah pesawat sebab belum pernah merasainya. Ini penerbangan sulung. First time naik kapalterbang, terus terbang ke London. jauh pula tu. Ribuan kilometer, 16 jam lamanya dengan satu perhentian iaitu di Dubai.
Ketika melangkah masuk ke dalam pesawat, teringat pesan Maktok,'Di manapun kita, kena ingat ni bumi Allah. Allah nampak apa yang kita buat."
Allah nampak apa yang aku buat.
Bismillahirahmanirrahim. Ya Allah permudahkan perjalananku.
Bismillah.
Alfatihah.
Aku bermusafir untuk mencari ilmu. Tok ayah pesan, Nabi pesan, cari limu sampai ke China. Aku nak pi England.
Anak dagang di negeri orang,
biar pandai menjaga diri
Jaga tutur kata
Jaga cermat peri bahasa
Selalu berbudi tinggi
Kapalterbang membelah langit malam. Cahaya lampu yang kelihatan seperti tompok jingga semakin mengecil. Ya Allah, peliharalah aku.
No comments:
Post a Comment