Pages

Wednesday, 2 September 2020

Anekdot 2 : Berkawan

 Cuaca sejuk mencengkam sehingga ke tulang sum sum. Aku mendakap tubuhku erat. Baju sejukku kutarik agar tiada langsung ruang untuk udara sejuk memasuki ruang tubuhku. Sejuk angin menampar wajah polosku. Tajam. Kulit terasa kering, bibir membiru.

" I bet you miss Malaysia", ujar kawanku, Wai Meng.Langkah Wai Meng lebih cepat dariku. Aku cuba menyainginya,seakan sedikit berlari anak. 

" Just the weather" jawabku selamba sambil terus mengatur langkah agar lebih cepat sampai.

"Don't you miss the food?" tanya Wai Meng lagi. Bagi kebanyakan rakyat Malaysia yang bermusafir, makanan akan menjadi cabaran utama. Makanan di Negara orang kadangkala terasa tawar dan hambar,kurang meriah dengan mainan warna dan tidak adventurous.

"Not really coz I'll cook whatever I want to eat", jawabku. Ada sedikit nada riak di suaraku.

"You can cook laksa too?" terdengar getar keterujaan Wai Meng. Kening sedikit terangkat dengan senyuman yang melebar,matanya yang sepet kelihatan sedikit bulat.Aku menahan bangga dengan reaksi kawanku ini. Di bumi Inggeris ini,laksa merupakan satu juadah yang agak sukar diperolehi ketika itu.

" Hey, I'm from Penang okay. Laksa is my second name!",aku tersenyum kerana sudah dapat mengagak ayat yang seterusnya.

"I'm your new best friend," kata Wai Meng tangkas. "I'll buy you the ingredients and you cook for me".

"Sure, but not this week. Banyak assignment lorr",kataku mengelat. Memang di setiap hujung penggal, banyak tugasan yang perlu disiapkan. Jurusan yang aku pilih merupakan jurusan yang dikategorikan di dalam bidang sastera maka tugasan yang diberikan biasanya melibatkan penulisan dengan ribuan perkataan. Setakat lima ribu perkataan itu adalah satu kebiasaan.Tambahan pula, musim cuti Christmas sedang menjenguk tiba. Kekalutan semakin terasa.

"Anytime when you're free", balas Wai Meng. Dia tidak mahu mendesak. Nama pun meminta tolong. Kalau didesak,mungkin aku tidak jadi masak laksa untuknya. Takut kempunannya harus dibawa sampai ke tahun berikutnya. 

Senang bersahabat ketika di luar Negara. Jujur dan ikhlas. Saling bantu membantu tanpa mengira kaum dan bangsa. Ada kalanya Wai Meng akan menumpangkan aku selepas selesai membeli barang keperluan di sebuah kedai Cina di bandar Birmingham.Kalau tiada Wai Meng, aku terpaksa membawa barang berbondong menaiki tren kembali ke rumah sewaku di Coventry. Penat, walaupun cuaca tidak panas seperti di tanahair sendiri.

"Yus, you went shopping again ahh?" tegur Punitha sambil tersenyum. Senyuman Punitha sangat manis. Lebih manis dari payasam yang sedang dimasaknya.

Aku mengangguk sambil tangan laju mengeluarkan barang yang telah aku beli. Ada belacan Pulau Pinang, sos cili Lingam, keropok yang belum digoreng, maggi asam laksa, serai, halia, lengkuas, asam keping dan bunga kantan. Barang Asia yang sukar diperolehi di Sainsbury, pasaraya yang popular ketika itu. 

"You're making laksa?" tanya Punitha lagi. 

" What else. Someone requested." balasku sambil membelek baki siling yang keluarkan dari kocek seluar. Resit yang ada aku buang ke dalam tong sampah di tepi meja.

Aku pandai memasak laksa Pulau Pinang yang kupelajari dari ibuku. Teman serumahku, Reha pula pandai menggoreng keauteau. Ramai yang menempah keauteau goreng Reha. Punitha pandai buat tosei, capati dan vadei. Tosei buatan Punitha masih lagi menjadi tosei terbaik yang pernah aku rasa. Mazlin pula pandai masak semua masakan Melayu. Nasi gorengnya yang paling aku suka.

" Senang je Yus, kacau telur di dalam nasi dahulu sebelum menumis bawang. Kicap pun masukkan sekali ke dalam nasi sebelum digoreng." pesan Mazlin.

Mazlin,orangnya comel. Rambut kerinting paras bahu kerap ditocangkan. Gadis comel ini sudahpun berpunya seawal tahun pertama kehadiran kami di bumi Inggeris ini. Buah hatinya, Rohimmi kerap juga datang menumpang makan di rumah kami. 

Rakan serumah aku yang lain adalah Punitha,pelajar undang-undang. Jangan dibawa lawan bercakap. Pasti kalah. Saingan Punitha adalah Reha, pelajar Accounting & Finance. Bijak orangnya. Pemegang biasiswa badan korporat ternama Malaysia. Reha, tinggi lampai,hitam manis. Hayunan gerak langkahnya persis seorang model. Malahan, dia pernah ditawarkan pekerjaan tersebut. tetapi dia menolak dengan soalan, " Does it pay more than a chartered accountant?" Maka yang menawarkan pun tersenyum sambil menggelengkan kepalanya.

Di rumah kami, Reha menguasai lantai bawah, bilik Punitha dan Mazlin di aras satu dan aku berbilikkan loteng. Kami hidup aman dan damai. Perbedaan kami raikan, persamaan kami menyatukan kami. Kadang kadang ada juga yang terasa hati, tercuit rasa tetapi tiada yang berpanjangan. Alhamdulillah.

Kami bertemu dengan Wai Meng dan adiknya Wai Mun apabila kami bekerja sambilan di Pusat Seni ataupun Arts Centre di universiti kami. Pementasan teater, wayang gambar, konsert berskala kecil dan galeri seni adalah di bawah naungan Arts Centre ini. Kerja kami agak mudah, berdiri di pintu masuk, periksa tiket, tunjukkan tempat duduk dan ketika intermission, ada yang ditugaskan untuk  menjual ais krim.

Wai Meng adalah ketua kami dengan gelaran Head Steward. Bayaran untuk Head Steward lebih dari yang diperolehi oleh kami. Kami dibayar £1-2 bagi setiap jam. Setiap pertunjukan mungkin mengambil masa diantara dua ke tiga jam. Dapatlah kami menambah duit poket untuk minggu tersebut.

Bekerja di Arts Centre membantu kami untuk memahami tentang Fine Arts. Seni sangat dihargai di sana. Ramai yang sanggup membayar harga yang mahal bagi menonton sebuah persembahan teater, terjemahan karya Shakespeare atau menonton persembahan orkestra yang memainkan lagu lagu Mozart dan Chopin. Aku pun belajar menghargai karya klasik seperti ini.

Momen seperti ini tidak akan berulang lagi di dalam kehidupan aku. Kadang-kadang, ketika aku memejamkan mata, menghela nafas yang panjang, aku masih boleh terbayang suasana ketika mengoyang loceng memanggil masuk pengunjung,menandakan tayangan akan bermula.

Rindu.


Anak dagang di negeri orang.,membawa nama baik Negara

Bersatu teguh,bercerai roboh.....

No comments:

Post a Comment