Pages

Wednesday, 2 September 2020

Anekdot 1 : Episod Anak Rantau

" Betul nak tinggalkan tempat ni? Belum tentu lagi awak boleh berjaya kalau awak pergi ke luar Negara", kata pegawai yang memanggil kami. 

Seramai 6 orang telah mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke luar Negara. Kami sepakat untuk meninggalkan pengajian yang belum bermula. Ketika itu, kami berada di dalam minggu orientasi. Kalau ditimbang, melanjutkan pelajaran di dalam Negara dan luar Negara, sudah tentu aku memilih luar Negara. Siapa yang tak nak 'fly',kan?

"Lagipun nanti, gaji sebagai seorang pegawai bank boleh jadi lebih tinggi dari seorang guru," pegawai tersebut masih cuma untuk memujuk kami untuk kekal di universiti tersebut. Aku mula berbelah bagi. Takut pun ada. Aku berada di universiti tersebut untuk mengikuti kursus Perbankan. Tawaran ke luar Negara adalah untuk menjadi seorang guru Bahasa Inggeris. Kalau diikutkan prospek, menjadi seorang pegawai bank mungkin lebih hebat. Tetapi aku tahu yang jiwaku adalah jiwa seorang pendidik. Kedua orang tuaku adalah guru. Darahku memang darah seorang guru.

Aku nekad. Petang itu, aku ikut ayahku pulang. Aku tinggalkan universiti itu. Bismillah. Moga keputusan ini tepat,doaku di dalam hati.

Persiapan untuk ke luar Negara kemudiannya terpaksa aku lakukan sendirian. Ayah dan mak telah berangkat menunaikan haji. Persediaanku dibantu oleh Pak Njang dan Mak Njangku yang telah diamanahkan oleh mak untuk membantu aku. Pak Njangku berwajah garang, bersuara lantang dan ke mana-mana sering berseluar pendek atas sedikit dari lutut. walaupun berperwatakan begitu, hatinya sangat baik. Dialah yang membawaku untuk berurusan di Kementerian, membantu aku untuk menyediakan pasportku, menukar duit ke Pound Sterling, menyediakan 'Bankers Cheque' untuk bekalanku di perantauan.

"Ma, buka tudung. Toksah dok pakai tudungla. Nak pi England kot" arah Pak Njangku. Ketika itu, diawal 80an,pemakaian tudung bukan sesuatu yang biasa. Malah, kami digelar,'orang dakwah'. Kesedaran terhadap menutup aurat  masih kurang.

Aku tidak menjawab, hanya diam. 

Pada tarikh aku berangkat, aku mengenakan skaf dan berbaju blaus berkolar tinggi bagi menutupi leherku. Tidak ideal  bagi seorang muslim tetapi aku menganggap itu adalah tindakan tolak ansurku dengan saranan Pak Njang. Pak Njang tidak berkata apa apa ketika melihatku dengan skaf menutupi kepalaku dan hujung skaf kulilit di kepala. Lagaknya seperti orang Afrika.

Ketika sampai di lapangan terbang Subang, kami berkumpul di satu sudut. Semua beg dikumpulkan dan didaftar masuk secara kumpulan. Aku lihat begitu ramai sekali yang seangkatan denganku. Gementar, teruja, seperti ingin menangis dan ketawa. Semua perasaan ini bercampur di dalam dadaku.

"Beg tangan jangan lepas. Pastikan sentiasa ada. Beg hand carry ni letak di compartment atas." pesan Mak Njang. Aku angguk. Belum terbayang bagaimana bahagian dalam sebuah pesawat sebab belum pernah merasainya. Ini penerbangan sulung. First time naik kapalterbang, terus terbang ke London. jauh pula tu. Ribuan kilometer, 16 jam lamanya dengan satu perhentian iaitu di Dubai.

Ketika melangkah masuk ke dalam pesawat, teringat pesan Maktok,'Di manapun kita, kena ingat ni bumi Allah. Allah nampak apa yang kita buat."

Allah nampak apa yang aku buat.

Bismillahirahmanirrahim. Ya Allah permudahkan perjalananku.

Bismillah.

Alfatihah.

Aku bermusafir untuk mencari ilmu. Tok ayah pesan, Nabi pesan, cari limu sampai ke China. Aku nak pi England.


Anak dagang di negeri orang, 

biar pandai menjaga diri

Jaga tutur kata

Jaga cermat peri bahasa

Selalu berbudi tinggi


Kapalterbang membelah langit malam. Cahaya lampu yang kelihatan seperti tompok jingga semakin mengecil. Ya Allah, peliharalah aku.




Anekdot 2 : Berkawan

 Cuaca sejuk mencengkam sehingga ke tulang sum sum. Aku mendakap tubuhku erat. Baju sejukku kutarik agar tiada langsung ruang untuk udara sejuk memasuki ruang tubuhku. Sejuk angin menampar wajah polosku. Tajam. Kulit terasa kering, bibir membiru.

" I bet you miss Malaysia", ujar kawanku, Wai Meng.Langkah Wai Meng lebih cepat dariku. Aku cuba menyainginya,seakan sedikit berlari anak. 

" Just the weather" jawabku selamba sambil terus mengatur langkah agar lebih cepat sampai.

"Don't you miss the food?" tanya Wai Meng lagi. Bagi kebanyakan rakyat Malaysia yang bermusafir, makanan akan menjadi cabaran utama. Makanan di Negara orang kadangkala terasa tawar dan hambar,kurang meriah dengan mainan warna dan tidak adventurous.

"Not really coz I'll cook whatever I want to eat", jawabku. Ada sedikit nada riak di suaraku.

"You can cook laksa too?" terdengar getar keterujaan Wai Meng. Kening sedikit terangkat dengan senyuman yang melebar,matanya yang sepet kelihatan sedikit bulat.Aku menahan bangga dengan reaksi kawanku ini. Di bumi Inggeris ini,laksa merupakan satu juadah yang agak sukar diperolehi ketika itu.

" Hey, I'm from Penang okay. Laksa is my second name!",aku tersenyum kerana sudah dapat mengagak ayat yang seterusnya.

"I'm your new best friend," kata Wai Meng tangkas. "I'll buy you the ingredients and you cook for me".

"Sure, but not this week. Banyak assignment lorr",kataku mengelat. Memang di setiap hujung penggal, banyak tugasan yang perlu disiapkan. Jurusan yang aku pilih merupakan jurusan yang dikategorikan di dalam bidang sastera maka tugasan yang diberikan biasanya melibatkan penulisan dengan ribuan perkataan. Setakat lima ribu perkataan itu adalah satu kebiasaan.Tambahan pula, musim cuti Christmas sedang menjenguk tiba. Kekalutan semakin terasa.

"Anytime when you're free", balas Wai Meng. Dia tidak mahu mendesak. Nama pun meminta tolong. Kalau didesak,mungkin aku tidak jadi masak laksa untuknya. Takut kempunannya harus dibawa sampai ke tahun berikutnya. 

Senang bersahabat ketika di luar Negara. Jujur dan ikhlas. Saling bantu membantu tanpa mengira kaum dan bangsa. Ada kalanya Wai Meng akan menumpangkan aku selepas selesai membeli barang keperluan di sebuah kedai Cina di bandar Birmingham.Kalau tiada Wai Meng, aku terpaksa membawa barang berbondong menaiki tren kembali ke rumah sewaku di Coventry. Penat, walaupun cuaca tidak panas seperti di tanahair sendiri.

"Yus, you went shopping again ahh?" tegur Punitha sambil tersenyum. Senyuman Punitha sangat manis. Lebih manis dari payasam yang sedang dimasaknya.

Aku mengangguk sambil tangan laju mengeluarkan barang yang telah aku beli. Ada belacan Pulau Pinang, sos cili Lingam, keropok yang belum digoreng, maggi asam laksa, serai, halia, lengkuas, asam keping dan bunga kantan. Barang Asia yang sukar diperolehi di Sainsbury, pasaraya yang popular ketika itu. 

"You're making laksa?" tanya Punitha lagi. 

" What else. Someone requested." balasku sambil membelek baki siling yang keluarkan dari kocek seluar. Resit yang ada aku buang ke dalam tong sampah di tepi meja.

Aku pandai memasak laksa Pulau Pinang yang kupelajari dari ibuku. Teman serumahku, Reha pula pandai menggoreng keauteau. Ramai yang menempah keauteau goreng Reha. Punitha pandai buat tosei, capati dan vadei. Tosei buatan Punitha masih lagi menjadi tosei terbaik yang pernah aku rasa. Mazlin pula pandai masak semua masakan Melayu. Nasi gorengnya yang paling aku suka.

" Senang je Yus, kacau telur di dalam nasi dahulu sebelum menumis bawang. Kicap pun masukkan sekali ke dalam nasi sebelum digoreng." pesan Mazlin.

Mazlin,orangnya comel. Rambut kerinting paras bahu kerap ditocangkan. Gadis comel ini sudahpun berpunya seawal tahun pertama kehadiran kami di bumi Inggeris ini. Buah hatinya, Rohimmi kerap juga datang menumpang makan di rumah kami. 

Rakan serumah aku yang lain adalah Punitha,pelajar undang-undang. Jangan dibawa lawan bercakap. Pasti kalah. Saingan Punitha adalah Reha, pelajar Accounting & Finance. Bijak orangnya. Pemegang biasiswa badan korporat ternama Malaysia. Reha, tinggi lampai,hitam manis. Hayunan gerak langkahnya persis seorang model. Malahan, dia pernah ditawarkan pekerjaan tersebut. tetapi dia menolak dengan soalan, " Does it pay more than a chartered accountant?" Maka yang menawarkan pun tersenyum sambil menggelengkan kepalanya.

Di rumah kami, Reha menguasai lantai bawah, bilik Punitha dan Mazlin di aras satu dan aku berbilikkan loteng. Kami hidup aman dan damai. Perbedaan kami raikan, persamaan kami menyatukan kami. Kadang kadang ada juga yang terasa hati, tercuit rasa tetapi tiada yang berpanjangan. Alhamdulillah.

Kami bertemu dengan Wai Meng dan adiknya Wai Mun apabila kami bekerja sambilan di Pusat Seni ataupun Arts Centre di universiti kami. Pementasan teater, wayang gambar, konsert berskala kecil dan galeri seni adalah di bawah naungan Arts Centre ini. Kerja kami agak mudah, berdiri di pintu masuk, periksa tiket, tunjukkan tempat duduk dan ketika intermission, ada yang ditugaskan untuk  menjual ais krim.

Wai Meng adalah ketua kami dengan gelaran Head Steward. Bayaran untuk Head Steward lebih dari yang diperolehi oleh kami. Kami dibayar £1-2 bagi setiap jam. Setiap pertunjukan mungkin mengambil masa diantara dua ke tiga jam. Dapatlah kami menambah duit poket untuk minggu tersebut.

Bekerja di Arts Centre membantu kami untuk memahami tentang Fine Arts. Seni sangat dihargai di sana. Ramai yang sanggup membayar harga yang mahal bagi menonton sebuah persembahan teater, terjemahan karya Shakespeare atau menonton persembahan orkestra yang memainkan lagu lagu Mozart dan Chopin. Aku pun belajar menghargai karya klasik seperti ini.

Momen seperti ini tidak akan berulang lagi di dalam kehidupan aku. Kadang-kadang, ketika aku memejamkan mata, menghela nafas yang panjang, aku masih boleh terbayang suasana ketika mengoyang loceng memanggil masuk pengunjung,menandakan tayangan akan bermula.

Rindu.


Anak dagang di negeri orang.,membawa nama baik Negara

Bersatu teguh,bercerai roboh.....

Tuesday, 1 September 2020

Sahabat 6 tahun di Bumi Inggeris


Merantau. Kita akan lebih mengenali diri kita.

Non stop from Kuala Lumpur to London for only $520!


Berada jauh di Negara orang menggali sifat yang tertanam ketika di Negara sendiri. Kalau di Negara sendiri,dek kerana ramai yang sebangsa dan sealiran, kita ibarat enau yang melepaskan pucuk masing-masing. Saling tidak mengenali dan saling tidak mendalami. Tetapi ketika kita tercampak di bumi asing, kita mula mahu ambil tahu kerana ketika di perantauan, kita adalah kelompok yang kecil maka kita pun bersatu. Bersahabat, ketika itu, sangat mudah. Bila terlihat seseorang dengan wajah kecil, hidung tak mancung dan berkulit sawa matang atau kuning langsat, benak akan tertanya, "Orang Malaysiakah itu?' Ujiannya mudah.Teriakkan sahaja, "Belacan". Kalau dia menoleh sambil tersenyum, orang senegaralah dia.

Ini cerita aku puluhan tahun yang lalu. Zaman hijau pucuk pisang. Zaman kemakmuran. Era Mahathir dan Margaret Thatcher.

Di dalam kelompok pengajianku yang seramai 15 orang,di bumi Inggeris, yang bukan bumiputra cuma Sybil Su dan Ng Loo Bok Lan. 

Sybil, berbangsa Cina, beragama Kristian, berjiwa kental, berpandangan tegas dan fokus kepada pengajian. Beliau selalu bercerita tentang BBGS atau Bukit Bintang Girls School. Orang KL-gadis kota.  Sybil kemudiannya menjadi sahabat akrabku sehingga kini. 

Bok Lan pula, gadis Tionghua yang comel dan genit. Berambut kerinting dan mempunyai senyum simpul yang sangat manis. Beliau, non controversial. Dia diantara yang terpandai di antara kami. Sering mendapat A dalam apa jua tugasan yang diberikan. Tidak hairanlah jika di akhir pengajian,beliau bergraduasi dengan first class honors. Kami pun tumpang bangga. Ada juga yang mendapat first class honors di dalam kumpulan kecil kami. 

Ambrose bumiputra berbangsa Iban. Beliau mempunyai jatidiri yang kukuh. Dia bangga dengan darah Iban yang mengalir dan seringkali cuba mengajar kami tentang bahasa ibundanya. Di awal pengajian, Ambrose 'membaca' kamus Oxford Advanced Learners Dictionary. Kami kagum dalam diam. Ambrose seorang yang bertanggungjawab dan berusaha dengan gigih di dalam pengajiannya. Beliau juga seorang pemain bolasepak yang disegani dan pemain badminton yang sukar dikalahkan.

Satu hari, Ambrose berseloroh, "Yus, you adalah kawan sebenar."  

Aku cuma tersenyum. Jasaku cuma menyediakan kek harijadi untuknya. Harijadi Ambrose tahun itu merupakan harijadi yang sukar dilupakan. Selepas acara meniup lilin dan makan apa yang ada, kawan kawan lelaki yang lain berpakat untuk menghumban Ambrose ke dalam Tocil Lake. Sehingga hari ini, perkara tersebut merupakan perkara yang diulang cerita di dalam setiap pertemuan kami.

Selain dari Ambrose, Sybil dan Bok Lan, yang lain semuanya berbangsa Melayu. Ketika tahun 1980an, kebanyakan guru Bahasa Inggeris adalah guru bukan Melayu. Aku berpendapat, kami dihantar bagi mengimbangi keadaan itu apabila kami kembali ke tanah air. Sahabat aku yang lain adalah Rohimmi dan Mazlin, Zaid, Wan Rose Eliza, Anita, Zuhana Mazwin, Nor Jehan, Munirah, Adila,Suffian dan Halleyza.

Berada di luar Negara dalam kumpulan yang kecil ini menyebabkan kami akrab umpama sebuah keluarga. Ketika pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Inggeris,kami baru berusia 18 tahun. Masih muda belia. Kami saling bergantung harap di antara satu sama lain. Kami bereksperimen, menempuh liku hidup remaja, bercinta dan ada yang putus kasih di pertengahan jalan. Kami diuji dengan pelbagai perkara. Tapi kami utuh. Aku bangga menyatakan bahawa keluarga kecil ini utuh. Utuh kerana jatidiri kami kuat. 

Kami umpama ikan di lautan. Walaupun air laut itu masin tapi isi ikan itu sendiri tidak terpalit dengan keasinan air laut.


Gambar ini menghimpunkan sebahagian dari pelajar Malaysia yang menuntut di universiti yang sama denganku ketika itu.