Pages

Tuesday, 3 February 2015

Sweet Dream Cinta

Ulasan Novel :

SWEET DREAM CINTA

Pengarang:
Nina Kamal

Saya tidak pernah membaca karya Nina Kamal dan ini merupakan naskah pertama beliau yang menjadi santapan hujung minggu saya. Di akhir pembacaan, saya dapati karya ini adalah karya yang baik. Nina menggunakan dua dialek utama iaitu dialek Kedah dan Sabah. Mungkin juga penulis mempunyai pengalaman peribadi dengan dua dialek ini sebab ianya berjaya dipersembahkan dengan baik sekali.

Plotnya agak mudah. Novel ini menceritakan kisah cinta seorang anak kecil iaitu Ramona yang dipanggil Moon bersama heronya Adrian yang dipanggil Ian.  Moon adalah gadis kampung yang teruja melihat kegembiraan sebuah keluarga menyambut Hari Raya di Jitra. Ketika kecil lagi hatinya sudah terpaut dengan Ian yang dianggap sebagai jodohnya. Ian pula menganggap Moon sebagai pengacau dan dia tidak menyukai Moon. Bersama saudara sepupunya yang lain, mereka seringkali membuli Moon namun Moon tetap mengekori Ian walau ke mana jua dia pergi.  Perkara ini berlarutan sehingga Moon mencecah 17 tahun. Pada tahun tersebut, Ian membawa pulang Mia-teman wanitanya untuk menyambut Hari Raya . Moon rasa tercabar lalu memfitnah Ian dengan mengatakan yang dia telah dicemar oleh Ian. Ian bertindak dengan mengambil penerbangan balik ke Kuala Lumpur. Moon,kemudiannya mengikut keluarga tersebut balik ke Kota Kemuning. Apabila mengetahui akan perkara tersebut, Ian terus terbang ke US dan tidak pulang sehingga beberapa tahun selepas itu. Di Kota Kemuning, makcik Ian yang berketurunan Kadazan- Cik Pat, merupakan orang yang telah memberi perspektik kehidupan yang baharu kepada Moon. Hasil pujukan Cik Pat, Moon mula belajar bersungguh-sungguh dan akhirnya memilih Design Art sebagai bidang yang diceburinya. Moon bekerja sambil belajar dan bakatnya terbukti cemerlang apabila beliau sering memenangi beberapa pertandingan.

Bidang rekabentuk perhiasan wanita juga telah membawanya kembali untuk bertemu semula dengan ahli keluarga Ian. Norman, sepupu Ian, terserempak dengan Moon di dalam satu pertandingan dan sejak itu hubungan keluarga telah disambung semula. Ian kemudiannya pulang ke tanahair untuk menghadiri kenduri kahwin kakaknya. Ketika itu, Ian terkesima melihat kejelitaan Moon tetapi cintanya ditolak oleh Moon. Kecewa, Ian kembali ke US tetapi mendapati dirinya tidak lagi mampu untuk tidak memikirkan tentang Moon. Ian kembali mencari cinta dengan cara yang lebih berhemah. Pada masa yang sama Cik Pat menyerahkan pentadbiran Isadora-syarikat kesayangan Moon, kepada Ian dan Moon sangat berkecil hati lalu merancang untuk memerangkap Ian sekali lagi. Ia berhasil dan Ian mengahwini Moon yang sememangnya sudah dicintainya. Tembelang pecah bila Ian melalui pengalaman intimnya bersama Moon. Ian kecewa bila mengetahui sebab utama Moon mengahwininya. -- semuanya kerana Isadora. Ian menjauhkan diri.

Retak tidak belah apabila Cik Pat disahkan mengidap kanser ovari. Moon memohon maaf dan mereka berbaik semula. Moon mendapati bahawa beliau sendiri sudah menjumpai cintanya terhadap Ian. Berlaku beberapa insiden kecil yang akhirnya membawa kepada pertemuan perasaan di antara 'matahari' dan 'bulan'.

Saya cuma bersyukur bila di akhir cerita mereka hanya bercakap tentang anak dan tidak pula Moon mengandung! Lazimnya novel Melayu selalu berakhir dengan si heroin mengandung dan melahirkan zuriat sang hero!..Klise kot.

Untuk novel yang berharga RM28.00..ia bahan bacaan yang berbaloi untuk hujung minggu anda!

No comments:

Post a Comment