Ulasan Novel :
KERANA AKU UNTUKMU
Pengarang :
ACIK LANA
Acik Lana merupakan seorang novelis yang tidak asing lagi bagi para peminat novel Melayu. Barangkali, karya beliau yang paling tersohor adalah Maaf Jika Aku Tak Sempurna dan juga Aku Bukan Mistress. Walau bagaimanapun, kedua-dua karya tersebut bukanlah karya pertama Acik Lana yang aku baca. Karya pertama beliau yang menjadi santapan mindaku adalah Akadku Yang Terakhir.
Aku mendapati yang karya Acik Lana memberi sedikit kelainan dari segi susunan plot dan Acik mempunyai gaya penceritaan yang baik dan mampu membuatku setia sehingga ke akhir bacaan.
Bila aku ke MPH Alamanda baru baru ini, aku sempat mengintai senarai Top 10 dan aku dapati salah satunya adalah Kerana Aku Untukmu. Tanpa berfikir dua kali, buku tersebut terus berada di dalam genggaman! Aku membeli buku tersebut pada hari Khamis dan habis membaca buku tersebut menjelang tengah malam pada hari Jumaat.
Kerana Aku Untukmu merumuskan tentang kesetiaan dalam berkasih. Watak utamanya ialah Darriz Imdad dan sebagaimana lazim, watak anak muda yang kacak, bergaya, bersifat pelindung, setia dalam berkasih dan sudah tentunya kaya raya. Watak heroinnya pula ialah Zenia-nama yang agak unik,yang bermaksud bunga dan sudah tentulah heroinnya juga cantik, lemah lembut tetapi tidaklah terlalu merimaskan. Beliau merupakan wanita yang bekerjaya dan tidak terlalu 'menurut'. Digambarkan sebagai seorang wanita yang sangat tabah.
Zenia merupakan seorang anak yatim dan banyak terhutang budi dengan Pn Norizan,tuanpunya sebuah Rumah Anak Yatim. Pn Norizan mempunyai seorang anak yang liar-Fakhry. Fakhry dipaksa berkahwin dengan Zenia dengan harapan agar perkahwinan dengan Zenia mampu mengubah Fakhry. Zenia terjerat. Walaupun beliau pasrah tetapi Fakhry jelas tidak menyukainya dan melayan Zenia dengan buruk sehingga akhirnya ianya membawa kepada perceraian.
Darriz Imdad pula jatuh cinta pada Zenia pada pandang pertama dan merasa amat kecewa apabila mendapati yang pujaan hatinya itu sudah pun berkahwin, Zenia pula merupakan pekerja di syarikat di mana Darriz merupakan COFnya, Berada di bawah bumbung yang sama membolehkan beliau terus dekat dengan Zenia..dekat tapi jauh. Berlaku beberapa insiden di mana Zenia telah diselamatkan oleh Darriz sehingga akhirnya Darrislah orang yang menolong Zenia ketika Zenia teruk dibelasah oleh Fakhry. Sifat Darriz yang penyayang dan berkongsi keprihatinan terhadap Aiman-seorang anak yatim yang comel, membuka hati Zenia untuk membiarkan cinta melamar dirinya lagi.
Walaupun pada awalnya ibu Darriz melarang keras akan perhubungan tersebut, perhubungan tersebut berjaya juga diikat dengan perkahwinan. Fakhry kemudian hadir memeriahkan plot dengan sifat 'gila talak'nya. Sifat tersebut telah membuat beliau menculik Zenia, mendera dan merogol Zenia tetapi kasih sayang Darriz yang menggunung telah menjadi penyelamat kepada segalanya.
Sebagaimana lazim, hero dan heroin hidup aman bahagia dan si jahat Fakhry disumbat ke dalam penjara.
Sesuatu yang lain tentang novel ini adalah keberanian Acik bercerita tentang hubungan intim di antara dua karakter utama. Saya suka karakter Zenia yang mempunyai kekuatan wanitanya yang tersendiri-soft but naughty at times dan kesabaran Darriz apabila mendepani setiap cabaran. Ini barulah sungguh- Cinta hingga ke Jannah!
Tahniah Acik Lana! Saya bagi 4/5..

No comments:
Post a Comment