Ulasan Novel : Raudhah
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Novel yang baik dengan plot yang tidak dijangka. Saya sebenarnya 'takut' untuk membaca karya Ramlee Awang Murshid (RAM) sebab saya tahu yang beliau merupakan seorang penulis yang baik dan juga seorang penulis yang terkenal terutamanya untuk golongan remaja. Saya pernah mengajar di USIM secara sambilan dan apabila ditanya siapakah penulis pilihan pelajar, ramai diantara mereka menjawab yang mereka amat meminati hasil tulisan RAM. Ketika itu, terdetik untuk membaca karya beliau dan apabila anakanda saya sendiri mula meminati hasil karya beliau saya semakin tidak berani untuk membaca kerana takut 'terjebak'. Saya takut saya tidak boleh berhenti membaca! Raudhah adalah karya pertama RAM yang berani saya singkap.
"Bismillah...aku mencintaimu kerana Allah"- ayat yang cantik dan tidak pernah saya jumpai dalam mana-mana naskah cinta sebelum ini. Sebetulnya, Raudhah memang bukan naskah cinta antara manusia tetapi lebih kepada pencarian satu jiwa kacau ke arah keredhaan Illahi. Watak utama ialah Faris yang di awal cerita ialah seorang pembunuh upahan:Contract Killer. Tetapi conscience beliau yang menyebabkan setiap kali beliau membunuh, jantungnya sakit. Kesakitan itu akhirnya menemukan beliau dengan sahabat lamanya iaitu Hambali. Hambali yang membantu Faris untuk kembali ke pangkal jalan sehingga satu hari ketika Faris koma, Hambali terlibat di dalam kemalangan dan jantungnya telah diwasiatkan untuk Faris, Faris mendapat kehidupan semula dengan jantung tersebut. Melalui Hambali juga, Faris dipertemukan dengan Junaidahtul,yang pada awalnya merupakan tunangan Hambali. Dalam pencarian jalan kembali, Faris telah ke Makkah dan Madinah bagi menunaikan umrah. Ketika Faris difitnah di Madinah dan dijatuhkan hukuman pancung, Junaidahtul yang digelar Raudhah, tidak henti berdoa. Takdir menentukan yang Allah menduga mereka yang benar-benar ingin bertaubat. Di penjara, Faris mendapat gelaran baharu: Awwabin.
Tidak seperti kebanyakan cerita, Faris tidak berakhir dengan Junaidahtul. Faris menemui cintanya yang baharu iaitu cinta kepada Allah SWT. Cinta yang benar dan cinta yang sejati. tetapi seperti kebanyakan cerita yang lain, akhirnya they live happily ever after. Faris menjadi seorang manusia baharu dengan membuka episod hidup yang baharu.
Pengajaran:
Terdapat beberapa episod di dalam penceritaan ini yang membuat saya terkenang kembali kepada pengalaman semasa di Makkah dan juga Madinah, Seperti terbayang kesesakan ketika di Raudhah. Saya juga melakukan apa yang dilakukan oleh karekter Junaidahtul ketika berada di Raudhah. Bersolat dan terus bersolat agar tidak di'halau' oleh penjaga wanita yang berada di situ.
Bagi saya, RAM berdakwah dengan caranya sendiri. Selesai membaca, tidak dapat tidak kita melihat keEsaan Allah SWT, kuasaNya dalam menentukan sesuatu dan kebijaksanaanNya dalam mengatur kehidupan kita. Terima kasih RAm kerana karya yang baik ini.
Rating : 4.5/5

No comments:
Post a Comment